Isnin, 22 Ogos 2011

Bersederhana sambut Aidilfitri

SETIAP lapisan masyarakat Muslim kini sibuk bersiap sedia menyambut Aidilfitri. Ketika inilah psikologi kita tidak lagi tertumpu sangat kepada menahan lapar dan dahaga dek sibuk dengan aneka persediaan berhari raya.
Hari raya ibarat ‘majlis konvokesyen’ buat setiap mukmin yang tamat pengajiannya di ‘ Akademi Ramadan’. Inilah analoginya. Pengajian kita yang berfakultikan ilmu pemantapan jiwa dan keperkasaan rohani berjaya ditamatkan dengan penuh sukses. Segala uji kaji dan ujian sudah selesai dan kita lulus dengan cemerlang sekali. Jadi, pada ‘majlis konvokesyen’ ini kita meraikan kejayaan bersama dengan penuh keriangan. Menyambut Aidilfitri ibarat menerima skrol ijazah yang mengiktiraf kebolehan dan kejayaan selepas melalui pelbagai ujian dan dugaan yang mencabar. Pun demikian, jangan lupa menyambut kehadiran Aidilfitri usah sampai memerangkap diri. Maksudnya membuat persediaan secara melampau dan di luar batas kemampuan diri sehingga terpaksa bergolok bergadai. Seakan-akan sudah berakar umbi masyarakat kita akan berhabis-habisan.

Apa saja teringin untuk digantikan dengan yang baru. Semua beralasan kononnya tidak glamor kalau tiada yang baru. Begitulah budaya negatif yang menghurungi kotak pemikiran konservatif sesetengah kita.

Pengasuhan diri ketika Ramadan yang berteraskan amalan berhemah dan anjuran berjimat-cermat atau bersederhana dalam segala hal terus lucut dalam jiwa. Lantas, hati dan jiwa ghairah secara aktif melampau mengikuti hawa nafsu untuk memperagakan apa saja yang baru. Apakah ini diajar agama kepada kita? Ingatlah bersederhana itu lebih indah dan banyak manfaatnya kepada kita.

Ini tidaklah bermakna tidak langsung mempersiapkan diri dan keluarga untuk berhari raya. Tidak! Kita perlu mengadakan persediaan yang seadanya dan semampunya, tetapi dalam batas yang bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan.

Ingatlah, masih banyak keperluan lain yang mendesak untuk kita penuhi. Kepada yang berkeluarga dan mempunyai anak bersekolah, kenalah berfikir panjang dan banyak kali untuk menghabiskan wang semata-mata memenuhi selera berhari raya. Ini kerana keperluan anak untuk bersekolah dikira lebih penting dalam jangka panjang.


Perancangan dan pembangunan pendidikan untuk anak sepatutnya diletakkan di puncak segala agenda dalam diari setiap keluarga. Inilah modal buat anak menempuh masa depan mereka ke arah yang lebih dinamik .

Mari kita hayati sejenak akan pesanan Allah kepada kita semua iaitu ‘Tuhan mengajar manusia yang suka membazir, berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir hak masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan. Syaitan pula makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya.’ (Maksud Surah al-Isra’ ayat 26-27) Jadi, perhitungkanlah diri sendiri setakat mana keperluan kita ketika menyambut lebaran. Jangan sampai kita tergolong dalam kategori orang membazir dan boros, sekali gus mengiktirafkan kita sebagai ‘sahabat syaitan’.

Ingatlah ketika hampir dengan sinar Aidilfitri, gelodak hawa nafsu akan mendominasi jiwa sehingga kita tertewas mengikut telunjuknya. Kita kalah bertempur dan gugur sebagai insan yang boros. Ingatlah selalu firman Allah ini: ‘Dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.’ (Maksud Surah Al-An’am ayat 141 ). Ibu bapa sebagai peneraju keluarga seharusnya mendidik anak dengan nilai bersederhana. termasuk dalam urusan mempersiapkan kelengkapan untuk berhari raya.

Sebenarnya kita banyak mendedahkan anak dengan unsur pembaziran. Sejak berpuasa lagi kita hidangkan menu berbuka yang sesetengah dalam tahap melampaui batas dan di luar kawalan logik.

Di sinilah anak sudah mula belajar hal pembaziran sebagai suatu perkara yang remeh saja. Maka, membesarlah mereka dengan ‘alam pembaziran’ yang dianggap ‘tak apa’ .

Kita perlu menstrukturkan semula pola pemikiran dengan paradigma yang menjurus kepada amalan bersederhana. Kita juga perlu menyahkan saki-baki budaya ‘biar papa, asal bergaya’ kerana sebagai mukmin keperluan dalam kehidupan semestinya diberi perhatian pada indeks kawalan yang penuh berdisiplin. Hidup dalam piawai bersederhana akan melonjakkan kualiti kehidupan sebagai seorang Muslim yang hebat, sekali gus mematuhi sunnah Rasulullah.

Tambahan pula, ketika kita menyusuri era kenaikan harga barangan yang mendadak tinggi menghambat diri kita semua supaya belajar berjimat dan hidup dalam kadar bersederhana saja.

Penulis seorang guru

Sumber: MyMetro (http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BersederhanasambutAidilfitri/Article/index_html)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

anda mungkin berminat :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...