PEJAM celik, pejam celik, Ramadan masuk penghujung minggu ketiga pada hari ini. Sungguh pantas betul masa berlalu kerana tanpa disedari hanya tinggal lebih kurang seminggu lagi, Ramadan akan berlalu meninggalkan kita.
Dalam kesempatan ruangan kali ini, saya tertarik untuk mengajak pembaca supaya sama-sama merenung peristiwa sewaktu peperangan Badar, antara peristiwa besar yang berlaku pada Ramadan.
Secara ringkasnya, Perang Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah, di mana tentera pimpinan Rasulullah SAW bersama 313 tentera Islam yang serba kekurangan di segi kelengkapan dan senjata menentang puak kafir Quraisy yang melebihi jumlah mereka.
Puak kafir dicatatkan berjumlah 1,300 orang lengkap dengan senjata, baju besi dan pasukan gempur berkuda mara dengan angkuh ingin menyekat dan seterusnya menghapuskan pengaruh Islam pada masa itu hingga ke akar umbi.
Namun, dengan pertolongan Allah SWT, tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW beroleh kemenangan.
Alhamdulillah. Kerana kemenangan itu juga, pada hari ini kita dapat merasai nikmat iman dan Islam kerana tanpa kemenangan pada hari itu, Islam tidak mungkin berkembang meluas seperti hari ini.
Dalam peperangan itu, Rasulullah SAW tidak putus- putus bermunajat menadah tangan berdoa memohon pertolongan Allah SWT yang bermaksud: “Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, kurniakanlah apa yang dijanjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, jika Engkau binasakan pasukan kecil ini, Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini.” Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui, doa nabi diperkenankan dan Allah menghantar bantuan- Nya, sekali gus menghancurkan puak kafir Quraisy dalam peperangan Badar seperti diterangkan dalam surah Al-Imran ayat 123, iaitu: “Dan sesungguhnya Allah menolong kamu di Badar, padahal (ketika itu) kamu adalah golongan lemah. Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu bersyukur.” Peristiwa Perang Badar bukan hanya sekadar cerita sejarah perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat tetapi pelbagai hikmah terkandung di dalamnya untuk dijadikan panduan serta iktibar dalam kehidupan kita hari ini.
Ini kerana umat Islam sejak dulu memang tidak lekang daripada tentangan musuh di sekeliling, khususnya daripada puak kafir dan munafik.
Namun, keadaan pada hari ini lebih menyedihkan kerana wujud ramai golongan orang Islam yang berpura-pura alim tetapi hakikatnya jahil mengenai agama sehingga sanggup menjadikan Islam sebagai platform meraih keuntungan duniawi.
Golongan munafik ini juga wujud ketika Perang Badar, di mana mereka giat mengapi-apikan permusuhan di kalangan orang Islam dan puak kafir. Mereka yang pada mulanya bersungguh-sungguh ingin menyertai Perang Badar bersama Rasulullah akhirnya menarik diri kerana kemunafikan mereka.
Inilah golongan perosak yang sering mengadu domba sehingga menggugat keharmonian hidup dalam masyarakat. Kewujudan dan peranan mereka ibarat api dalam sekam, tidak dapat dilihat secara zahir tetapi sangat berbahaya.
Ramadan kali ini juga saya kira tidak kurang hebatnya, di mana umat Islam di negara kita diuji dengan beberapa peristiwa berkait dengan kesucian agama, amalan dan budaya orang Islam negara kita.
Isu begini seharusnya ditangani secara hikmah berlandaskan garis panduan Islam supaya agama Islam tidak dipandang ‘sebelah mata’ oleh bukan Islam dan orang Islam sendiri.
Di sinilah pengajaran Perang Badar patut dijadikan ‘benchmark’ atau sebagai panduan kepada kita hari ini.
Jika sesuatu perkara itu jelas sebagai perintah atau larangan Allah, ia tidak perlu dipertikaikan lagi.
Dalam Peperangan Badar, wujud satu peristiwa di mana seorang lelaki bernama Hubab bin Mundhir bertanya Rasulullah SAW sama ada lokasi pilihan baginda untuk berkubu di atas bukit Badar adalah wahyu Allah atau sebaliknya.
Apabila mengetahui pemilihan tempat itu bukan daripada wahyu Allah SWT, beliau mencadangkan kubu tentera Islam berpindah ke kawasan berdekatan sumber air.
Begitu juga cadangan Sa’ad bin Muaz yang ingin membangunkan benteng sebagai tempat perlindungan Rasulullah SAW. Kedua-dua cadangan itu diterima dan diguna pakai oleh Rasulullah SAW demi kebaikan bersama.
Mafhum di sini, jika sesuatu perkara itu jelas satu perintah atau larangan daripada Allah, menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakannya tanpa soal.
Sebagai ketua negara dan jeneral perang pada waktu itu, keperibadian Rasulullah SAW sebagai seorang yang boleh menerima pendapat serta pandangan orang bawahannya jelas membuktikan baginda pemimpin yang baik dan sanggup menerima pendapat demi kemaslahatan serta kebaikan umum.
Justeru, yang jelas di sini adalah sesuatu pendapat itu seharusnya diterima atas dasar kebenaran atau hak dan bukan mengangkat pendapat majoriti yang berkepentingan tertentu.
Kuasa bukan kudrat mutlak untuk mengetepikan kebenaran yang nyata. Ini kerana, sikap begini akhirnya bukan hanya membinasakan diri sendiri tetapi juga orang di bawah jagaannya.
Apabila satu musibah menimpa masyarakat dek kerana kepentingan sesetengah pihak, siapa yang untung dan siapa yang rugi? Di bawah terik panas di padang pasir, ditambah dengan keadaan pada waktu itu yang berada dalam Ramadan, kumpulan tentera Islam yang teguh iman mereka terus melangkah ke depan menentang puak Musyrikin.
Bayangkan dalam suasana begitu, nabi tidak sesekali menyuruh pengikutnya yang ikut berperang untuk berbuka puasa.
Logiknya, dalam Ramadan, tentunya badan kita lemah dan tidak bertenaga. Namun, bagaimana pula dalam keadaan begitu tentera Muslim diperintahkan untuk berperang? Ini kerana kehebatan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Ramadan sebenarnya mendidik jiwa dalaman dan luaran kita menjadi lebih kuat.
Ini dapat dilihat melalui keseragaman di segi syarat dan amalan orang Islam sedunia berpuasa dan solat tarawih berjemaah tanpa mengira warna kulit, bangsa, keturunan dan pangkat.
Justeru, Ramadan sepatutnya dapat menyatupadukan umat Islam untuk duduk bermusyawarah menangani sesuatu masalah bersama demi kebenaran, bukan mencari alasan.
Usah kita gentar dan bimbang dengan kuasa serta jumlah yang ramai kerana janji Allah tetap benar seperti firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 249 yang bermaksud: “Betapa banyak golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah bersama orang yang sabar.” Demikianlah juga keadaan sewaktu Perang Badar. Pasukan tentera Islam yang kecil mampu mengalahkan pasukan yang lebih besar dengan izin Allah.
Mereka menang bukan kerana kekuatan senjata atau kerana jumlah mereka yang ramai. Mereka berperang kerana perbezaan prinsip agama dan paling nyata, bukan kerana berebut harta benda dunia.
Sesungguhnya kemenangan mereka kerana keikhlasan menegakkan kalimat Allah dan membela agama-Nya.
Jadi, mari kita melihat semula perjuangan kita pada hari ini dan jangan khuatir kerana, walaupun dengan jumlah sedikit sekalipun, seandainya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT, pasti kemenangan tetap milik kita sebagaimana dijanjikan Allah SWT.
Sumber; Artikel MyMetro (http://www.hmetro.com.my/articles/HayatihikmahPerangBadar/Article)
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. SURAH AL-BAQARAH(2) AYAT 128
Isnin, 22 Ogos 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan